Seminar Falak ILDAS. Nadzri

KAEDAH DAN PROSEDUR CERAPAN PENENTUAN ANAK BULAN ISLAM DI MALAYSIA

Pengenalan takwim
Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami), Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang benderang, supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); Dan (ingatlah tanda seruan) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah terangkan dia satu persatu (di dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya
Surah al-Israa; 12

Takwim atau kalendar boleh ditakrifkan sebagai satu rekod perjalanan waktu atau sistem susunan masa yang membahagikan tahun menjadi bulan, bulan menjadi minggu dan minggu menjadi hari. Peranan takwim dalam kehidupan manusia sangat penting. Ia merupakan sistem masa yang berkait rapat dengan aktiviti sosial dan keagamaan bagi membantu manusia mentadbir kehidupan seharian. Ia diasaskan kepada kedudukan bulan (Takwim Hijriah) atau matahari (Kalendar masihi atau lebih tepat Miladiah).

Tarikh Takwim/Kalendar Diperkenalkan  
Takwim Hijriah mula diperkenalkan semasa pemerintahan Khalifah Islam kedua, Sayidina Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 Miladiah. Takwim hijriah dipilih bersempena dengan penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dari Makkah le Madinah. Awal Muharram tahun pertama hijriah bersamaan 16 Julai  622 Miladiah.
Manakala Kalendar Miladiah pula adalah berasaskan kedudukan matahari . Tahun Miladiah atau Masehi atau Gregorian adalah berasal daripada Kalendar Julian (Julius Caesar) yang diperkenalkan sejak tahun 45 BC. Kalendar Gregorian hanya mula digunakan secara rasmi pada tahun 1582 setelah melalui beberapa pengubahsuaian oleh Pope Gregory XIII.

Jenis Takwim
Pada asasnya Takwim Hijriah berdasarkan kepada peredaran bulan, tetapi secara praktikalnya ia terbahagi kepada beberapa jenis takwim seperti berikut:
Takwim Istilahi
Bilangan hari bagi bulan-bulan yang terdapat di dalam takwim ini disusun berselang-seli 30 dan 29 hari menjadikan 354 hari setahun.


Takwim Hakiki
Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari, di mana penentuan awal bulan hijrah dikira berpandukan ketika berlakunya ijtimak hakiki. Apabila ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka sejak terbenamnya matahari itulah dikira awal bulan hijriah yang baru. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenam matahari, maka keesokan harinya digenapkan 30 haribulan.

Takwim Wujudul Hilal
Takwim yang berasaskan sistem ijtimak juga, tetapi penentuan awal bulan dikira mengikut wujudnya hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam. Bermula dari waktu terbenam matahari itulah bulan baru dikira.

Takwim Imkanur-Rukyah
Takwim Imkanur-Rukyah adalah di mana penentuan bagi setiap awal bulan hijriah yang berdasarkan rukyah dan hisab mengikut kriteria ketetapan yang telah ditentukan.

Ulasan

Catat Ulasan

Hakcipta terpelihara ®2019

hakcipta terpelihara

Mesra Alam

Air dan nutrien

Cub Prix Petronas 2025